Selepas melarikan diri dari dikejar polis lebih 20 kilometer, dua penjenayah akhirnya berjaya ditangkap oleh pihak polis selepas terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Pengkalan, pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, dua penjenayah tersebut menaiki kenderaan jenis Toyota Vios dan telah dikejar oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sekitar jam 9 pagi tadi sejauh lebih 20 kilometer dari Kampung Lapan, Bachang sehingga ke lokasi kemalangan.
Siasatan awal mendapati dua penjenayah yang sedang memecut laju itu kemudiannya memandu melawan arus sebelum merempuh sebuah pikap trak jenis Nissan Navara di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
“Dipercayai kenderaan suspek telah dikejar polis dari arah Durian Tunggal menghala ke Alor Gajah. Namun setiba di persimpangan lampu isyarat itu, pemandu bertindak menyongsang arus lalu bertembung secara berdepan dengan pacuan empat roda yang datang dari arah Alor Gajah menghala ke Durian Tunggal.
“Akibat kemalangan itu suspek pemandu serta penumpang masing-masing berusia 45 dan 20 tahun mengalami patah dan cedera kaki kanan dirawat di Hospital Alor Gajah,” katanya.
Pemandu pikap trak tersebut terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemeriksaan telah dilakukan dan sejumlah dadah dan alatan pecah rumah telah dijumpai dalam kenderaan suspek. Kedua-dua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai hingga mengakibatkan kemalangan.
Sumber : Sinar Harian