Sekeping gambar telah dimuat naik oleh Rean DDong dalam kumpulan Perodua Axia Rahmah di Facebook yang menunjukkan perbualan WhatsApp di antara dia dan seorang Penasihat Jualan Perodua. Lebih mengejutkan apabila Penasihat Jualan Perodua tersebut mengatakan bahawa pengeluaran untuk Axia Rahmah telah dihentikan.
Untuk makluman, Perodua telah melancarkan Axia E bertransmisi manual dengan harga mampu milik atau harga rahmah iaitu dengan hanya RM22,000 tanpa insurans pada Jun 2023. Walaupun ia hanya ditawarkan dengan beberapa spesifikasi asas, Axia Rahmah ini masih mempunyai ciri keselamatan yang baik.
Dengan harga yang sangat berpatutan, memang tidak hairan lagi jika senarai menunggu untuk model ini memakan masa 3 hingga 6 bulan. Berdasarkan tinjauan kami di ruangan komen, rata-rata mengatakan bahawa produksi Axia E ini masih ada lagi cuma perlu menunggu dengan sangat lama sahaja untuk menerima.
Ada juga yang berkongsi bahawa mereka membuat tempahan pada bulan Januari dan telah pun berjaya menerima kenderaan mereka minggu lepas. Ada juga yang berpendapat bahawa Penasihat Jualan tersebut yang tidak mahu mengambil tempahan untuk model Axia Rahmah ini.
Berdasarkan tinjauan kami juga, laman web rasmi Perodua masih menawarkan model Axia E transmisi manual ini kepada orang ramai. Namun, dikatakan tempahan dan proses penghantaran bagi model ini akan dihentikan menjelang akhir tahun ini.