KKR Guna Bahan Turapan Khas, Tingkat Daya Tahan dan Jangka Hayat Jalan Raya

Antara penyebab permukaan jalan raya rosak dan berlubang sehingga mengakibatkan kemalangan sehingga maut adalah peningkatan jumlah beban trafik terutamanya kenderaan berat serta aliran air dalam struktur tanah di bawah turapan.

Berdasarkan statistik Sistem Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAMS) Kementerian Kerja Raya (KKR), 181 kes kemalangan direkodkan meliputi 23 kes maut, 7 kes cedera parah, 68 kes cedera ringan dan 83 kes kenderaan rosak akibat jalan berlubang dari 2022 hingga Julai 2024.

Untuk mengatasi masalah tersebut, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah mengumumkan bahawa teknologi specialty mix atau campuran khas telah digunakan dalam bahan turapan untuk menambah baik daya tahan struktur, selain memanjangkan jangka hayat jalan raya.

Bahan tambahan yang digunakan di dalam specialty mix tersebut mengandungi bahan asas campuran asfalt iaitu bitumen dan agregat simen yang berfungsi sebagai penguat campuran asfalt.

Tambah beliau, teknologi itu telah direka bentuk untuk mengatasi masalah berkaitan turapan jalan dan dapat meningkatkan daya tahan lasak struktur permukaan jalan.

“Jenis bahan-bahan yang digunakan juga akan dipilih berdasarkan beberapa kriteria seperti kawasan sering dilalui kenderaan berat terutamanya di laluan utama dan laluan perindustrian, laluan berselekoh, laluan mendaki, persimpangan dan jarak pembekalan asfalt ke lokasi pembaikan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Cawangan Jalan JKR, Datuk Ibrahim Esa turut berkongsi bahawa JKR telah menyelenggara sebanyak 1,130 lokasi menggunakan bahan teknologi campuran khas di seluruh negara dari tahun 2018 sehingga 2023.

“Kaedah dan bahan penurapan jalan campuran khas ini dilihat semakin meningkat maju pada masa kini dan berpotensi untuk dilaksanakan sekiranya peruntukan awal bagi pelaksanaan projek infrastruktur jalan mengambil kira elemen teknologi baharu.

“Ia harus disokong oleh semua pihak bagi menyahut cabaran negara maju agar dapat menjamin kos kitaran hayat projek yang optimum,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD