Dua buah bas telah digunakan oleh pihak polis untuk menghalang sekumpulan samseng jalan raya dari melarikan diri dalam operasi khas bersepadu membanteras samseng jalanan di jalan pantai Skudai Pantai Lido awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat, 286 individu bersama 257 buah kenderaan berjaya diperiksa selepas pihak polis menghalang mereka menggunakan dua buah bas.
“Daripada jumlah itu sebanyak 115 motosikal telah disita di bawah Seksyen 64, Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 bagi pemeriksaan lanjut” katanya.
Operasi telah dijalankan selama dua hari bermula dari jam 5 petang hingga 1 pagi bersama dengan 100 pegawai dan anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi.
Selain itu, 153 saman juga telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen memandu, mengubah suai struktur kenderaan dan pelbagai lagi kesalahan lain.
54 saman kompaun juga telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Seksyen Akta Pengangkutan 1987 di atas pelbagai kesalahan manakala 46 saman kompaun dan 52 notis oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap individu yang mengeluarkan bunyi motosikal melebihi paras yang ditetapkan.
“Kita juga menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun kerana positif dadah jenis metahamphetamine setelah menjalani ujian saringan air kencing. Kesalahan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya.
Hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM5,000 boleh dikenakan jika sabit kesalahan serta pengawasan polis selama dua tahun.
Sumber : Buletin TV3