Seorang wanita didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret Trafik semalam di atas kesalahan cuai menjaga anak sehingga membenarkan anak berusia 10 tahun memandu kereta sehingga melanggar sebuah van.
Majistret, Marlissa Mohd Fahmy menjatuhkan hukuman itu terhadap wanita berusia 46 tahun berkenaan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan, menurut laporan Sinar Harian.
Sekiranya wanita tersebut gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara tujuh hari bakal dikenakan. Berdasarkan pertuduhan, pemilik kenderaan jenis Toyota Corolla atau orang kena saman (OKS) telah membenarkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun memandu kenderaan berkenaan.
Kesalahan telah disabit di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama. Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Tidak diwakili peguam, wanita tersebut merayu agar diringankan hukumannya kerana hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan pendapatan RM1,500 sebulan manakala suami pula sedang sakit dan masih mempunyai 3 orang tanggungan anak yang masih bersekolah.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, M Pusppa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada OKS dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.
Ujarnya, OKS sebagai pemilik kenderaan telah lalai dengan tanggungjawabnya untuk membuat pemantauan dan pengawasan terhadap anaknya.
“Kes seperti ini bukan kali pertama berlaku di negara kita dan perbuatan ini sangat membahayakan kerana dalam kes ini OKS telah membenarkan kanak-kanak membawa kenderaan dan kanak-kanak itu turut membawa anak jiran ketika kejadian.
“Tindakannya bukan saja membahayakan diri sendiri, malah turut membahayakan nyawa orang lain,” katanya.
Walau bagaimanapun, wanita itu dilaporkan telah membayar denda tersebut.