Tular di aplikasi Tiktok baru-baru ini sebuah video yang memaparkan seorang lelaki yang dipercayai merupakan pemandu bas sekolah kanak-kanak sedang melakukan perbuatan seksual kepada seorang kanak-kanak yang menaiki bas sekolah tersebut.
Susulan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang telah menahan tertuduh pada Jumaat yang lalu. Tertuduh yang berusia 24 tahun itu telah didakwa atas dua kesalahan di Mahkamah Sesyen Muar hari ini.
Lebih mengejutkan apabila tertuduh mengaku tidak bersalah dan dilihat menangis selepas Hakim Sayani Mohd Nor membacakan pertuduhan, menurut laporan Sinar Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan mencium pipi kanak-kanak perempuan yang juga anak saudaranya berusia empat tahun bagi maksud seksual di dalam sebuah bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang.
Tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual di dalam bas sekolah di alamat yang sama pada bulan ini.
Untuk kesalahan tersebut, tertuduh telah melakukan kesalahan amang seksual bukan fizikal di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.
Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, jaminan sebanyak RM50,000 untuk setiap pertuduhan telah dicadangkan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Abdul Ghafar Ab Latif. Hal ini kerana, kes berkenaan adalah sangat serius dan telah mendapat perhatian umum yang ingin pihak berkuasa melakukan tindakan yang tegas.
Selain itu, pihaknya turut memohon syarat tambahan di mana tertuduh tidak mengganggu mangsa serta kakak dan ibunya yang akan menjadi saksi pendakwaan memandangkan salah seorang mangsa merupakan anak saudaranya.
Tertuduh yang diwakili peguam Umar Zulkarnain bagaimanapun merayu agar jaminan rendah dikenakan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai gaji tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah.
Sejurus mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?