NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Nahas 10 Buah Kenderaan, Pemandu Lori Positif Dadah

Nahas 10 Buah Kenderaan, Pemandu Lori Positif Dadah

Lapan buah kereta serta dua lori muatan batu gunung telah terlibat dalam kemalangan sekitar jam 1.25 petang semalam di Jalan Tampin-Seremban.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kenderaan berkenaan bergerak perlahan, dalam masa sama datang sebuah lori jenis Hino muatan batu gunung dipandu suspek dari arah Tampin ke Seremban dipercayai telah hilang kawalan.

“Berikutan itu lori telah terbabas dan melanggar kenderaan yang berada di hadapannya sehingga menyebabkan kenderaan lain yang berada di situ melanggar satu sama lain,” katanya.

Mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 31 tahun, memandu kereta jenis Proton Iswara telah disahkan maut di lokasi kejadian akibat tersepit dalam kenderaannya kerana dihempap lori tersebut.

“Mayatnya telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk tujuan bedah siasat. Selain itu, seorang wanita berusia 48 tahun parah iaitu patah tangan kanan manakala lain-lain mangsa hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Susulan itu, pihak polis telah menahan seorang pemandu lori muatan batu dan mendapati hasil ujian urin terhadap lelaki berusia 38 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine. Permohonan reman terhadap suspek telah dilakukan hari ini, menurut laporan Sinar Harian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Nor Fadzlilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir di balai polis berhampiran.

“Siasatan kes seterusnya dilakukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy