Seorang wanita maut, manakala empat lagi termasuk dua kanak-kanak cedera selepas terlibat nahas melibatkan sebuah lori muatan pasir dan 5 buah kereta di Jalan Persiaran Negeri di persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, di sini semalam.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Mat Ghani Lateh, mangsa berusia 31 tahun disahkan maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit.
“Siasatan awal mendapati semasa kejadian sebuah lori tipper jenis Nissan yang dipandu lelaki berusia 30 tahun dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang menghala ke Pusat Bandar Nilai.
“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, lori muatan pasir tersebut telah hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar lima kereta iaitu Perodua Alza, Ativa, Honda Civic, Nissan Serena dan Suzuki Swift yang sedang berhenti di lampu isyarat berwarna merah,” katanya.
Berikutan itu, pemandu kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu seorang wanita berusia 31 tahun telah tersepit di tempat duduk pemandu lalu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, menurut laporan Sinar Harian.
Terkini, pemandu lori muatan pasir tersebut dilaporkan positif dadah dan permohonan reman terhadap suspek telah dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Seremban.
“Pemandu lori berusia 30 dibenarkan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. Permohonan dibuat di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Ujian awal urin terhadap suspek mendapati lelaki ini positif dadah jenis methaphetamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sebarang maklumat orang ramai boleh salurkan kepada pihak Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Nilai, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012- 9122198 bagi membantu siasatan,” katanya.