Kerajaan Masih Tanggung Perbelanjaan Subsidi Diesel – Rafizi

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, kerajaan masih lagi menanggung perbelanjaan pemberian subsidi diesel pada masa ini kepada sektor yang layak.

“Walaupun harga diesel diapungkan, masih ada sektor-sektor yang harganya diberikan subsidi kepada golongan tertentu seperti nelayan, pengangkutan awam serta industri logistik,” kata beliau dalam episod ke-6 Audio Siar Yang Bakar Menteri (YBM).

Subsidi diesel yang terkini hanya melibatkan pengguna persendirian sahaja dan tidak diapungkan 100 peratus. Jumlah keseluruhan kepada kerajaan masih lagi signifikan kerana subsidi masih lagi tidak dihapuskan dan kerajaan hanya menyasarkan sahaja, menurut jawapan beliau ketika ditanya mengenai harga runcit diesel yang tidak mengikut harga pasaran semasa.

Kerajaan telah menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter pada 10 Jun di semua stesen-stesen minyak di seluruh semenanjung Malaysia manakala harga runcit bahan api diesel di Sabah kekal pada RM2.15 seliter.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata lebihan wang daripada perbezaan harga diesel dengan harga semasa digunakan untuk membayar subsidi yang masih lagi diberikan oleh kerajaan kepada golongan sasar, menurut laporan Harian Metro.

“Oleh itu, kalau ada perbezaan dari segi harga mingguan itu, ada masanya akan jadi lebih dan ada masanya kurang, jadi kesan bersih daripada lebih atau kurang harga itu masih lagi menjadi perbelanjaan utama kerajaan dalam bentuk subsidi diesel.

“Sekiranya ada lebihan pada minggu ini ia akan dibawa ke minggu hadapan ataupun wang itu sebenarnya digunakan untuk membayar subsidi yang masih lagi berbilion-bilion ringgit kepada pengangkutan awam dan semua sektor yang telah ditetapkan termasuklah inisiatif Budi Madani,” katanya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD