MyJPJ Terganggu, Pemegang Lesen B1/B2 Semak Kelayakan – Program Khas Peralihan Lesen Memandu

Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) telah pun bermula semalam dan orang ramai yang berminat untuk memohon sudah boleh mula membuat semakan melalui aplikasi MyJPJ, portal mySIKAP awam (https://public.jpj.gov.my) atau berkunjung ke kaunter JPJ, menurut laporan Kosmo!.

Susulan dengan hari pertama semalam, aplikasi MyJPJ mendapat maklum balas yang tinggi sehingga terganggu kerana orang ramai yang menerjah pada waktu yang sama. Justeru itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli mengharapkan supaya orang ramai bersabar dengan masalah yang dihadapi.

“Berdasarkan maklum balas memang tinggi, permintaan itu agak tinggi. Sistem kami ada sedikit masalah disebabkan trafik tinggi untuk masuk MyJPJ bagi menyemak kelayakan.

“Saya harap orang awam bersabar dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Semak dahulu dan kemudian tentukan institut memandu (IM) yang mahu dipilih.

“Dalam masa sama, JPJ sedang mengambil tindakan dan dalam perancangan menaik taraf sistem,” katanya.

Pada Ogos lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah pun mengumumkan Program Khas Peralihan Lesen Memandu ini membolehkan pemegang lesen B1 dan B2 beralih kepada B mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Selain itu, sebanyak 180 institut memandu telah bersetuju untuk menawarkan program tersebut di seluruh Malaysia dan senarainya akan dimuat naik di portal JPJ tak lama lagi.

“Kadar siling fi kepada IM bagi program ini adalah sebanyak RM160 merangkumi pendaftaran dan insurans pelajar, kursus peralihan dan penyesuaian (dua jam), fi perkhidmatan (termasuk sewaan kenderaan dan litar) dan fi ujian JPJ.

“Tujuan program ini untuk menaik taraf pemegang LLM Kelas B2 dan B1 kepada Kelas B tertakluk kepada syarat ditetapkan dan tiada lagi permohonan baharu bagi mendapatkan LMM Kelas B1 di IM,” katanya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD