Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024 Kembali Lagi – Hadiah Utama Honda Civic FK8R Type-R Mugen!

Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2024 kini kembali lagi pada tahun ini dengan lebih dari 300 unit kereta ubah suai, termasuk 15 unit kereta ubah suai diterbangkan khas dari Jepun akan ada pada tahun ini.

Ia akan diadakan selama 3 hari bermula 8 hingga 10 November 2024 di tempat yang sama mereka adakan pada tahun lepas iaitu di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pelbagai aktiviti akan diadakan seperti pameran kereta luar biasa, pertandingan autoshow, himpunan kelab-kelab kereta, jualan baran-barang kenderaan, demonstrasi drift, cabaran perlumbaan simulator, pertandingan audio kenderaan, pertandingan pop & bang dan juga persembahan-persembahan secara langsung.

Orang ramai yang berminat untuk menghadirkan diri kini boleh mendapatkan tiket di laman web rasmi TASKL atau boleh walk-in di MITEC pada 8 hingga 10 November tersebut sebelum jam 6 petang.

Menariknya kali ini, hadiah utama bagi cabutan bertuah pada tahun ini akan membawa pulang sebuah Honda Civic FK8R Type-R Mugen. Cabutan bertuah ini terbuka kepada orang ramai yang telah membeli tiket dan perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM28 untuk menyertai cabutan bertuah tersebut.

Tiket akan dicabut pada hari terakhir, 10 November, pada jam 8 malam di atas pentas. Sekiranya pemenang tersebut tidak berada di tapak acara berkenaan, pihak penganjur akan menghubunginya melalui telefon.

Namun sekiranya tiga kali panggilan tidak dijawab, penganjur akan membuat cabutan yang lain. Sekiranya panggilan dijawab, pemenang tersebut masih perlu menjawab tiga soalan mudah bagi melayakkannya sebagai pemenang Civic Type R tersebut. Walau bagaimanapun kos untuk pendaftaran termasuk insuran, cukai jalan, pengangkutan dan lain-lain yang berkaitan perlu ditanggung oleh pemenang.

Sedikit spesifikasi untuk Civic Type-R tersebut, ia didatangkan dengan enjin 2.0 liter VTEC turbocaj dan mampu menjana kuasa sebanyak 318 HP dan 400 Nm tork bersama dengan transmisi manual 6-kelajuan. Pemenang juga akan mendapat bodykit Mugen, tombol gear Mugen, lampu belakang Mugen, rim tayar TE37 bersaiz 20 inci beserta dengan sistem ekzos aftermarket.

Selain itu, sebuah BMW E36 325i yang telah diubahsuai juga turut ditawarkan sebagai hadiah menerusi pertandingan yang dianjurkan oleh salah satu pempamer di TASKL 2024 ini iaitu YRN Custom. Pertandingan ini dibuka untuk semua pengunjung TASKL 2024 yang telah berbelanja sekurang-kurangnya RM15, dan pemenang akan diumum pada 10 November.

“Dengan 91,000 pelawat yang direkodkan di Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur yang julung kali diadakan pada 2023, kami perlu meningkatkan tahap acara kami tahun ini. Jangkaan daripada peminat akan terus meningkat dan yakinlah, kami telah menyusun rancangan yang tidak akan mengecewakan mereka,” kata Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies Jason Yap.

“Seperti acara asal di Jepun, banyak perancangan dan persiapan telah dilakukan untuk memastikan pameran tahun ini terus mengatasi jangkaan peminat,” tambahnya

“Penala dan pempamer Jepun yang mengambil bahagian pada 2023 sangat terkejut dengan penerimaan peminat Malaysia yang mereka akan kembali dengan cara yang lebih besar tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MUSE Asia Encik Riduwan Matni pula.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD