Alasan Cuaca Panas Diberikan Pemandu dalam Ops Cermin Gelap

Pelbagai alasan diberikan oleh pemandu yang ditahan dalam Ops Cermin Gelap dan antaranya adalah mahu mengelak cuaca panas. Selain itu, ada juga pemandu yang mendakwa cermin sudah gelap sejak awal ia dibeli.

Walau bagaimanapun, notis saman tetap dikeluarkan kerana ia masih melanggar peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan, operasi dimulakan pada jam 9 hingga 11 pagi di Jalan Lapangan Terbang Subang.

“Sebanyak 118 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 29 telah diambil tindakan melibatkan 61 notis saman atas pelbagai kesalahan.

“Penggunaan cermin gelap merupakan kesalahan utama dikesan selain tidak mempunyai lesen memandu, lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya.

Tindakan lain seperti Notis Larangan Penggunaan Kenderaan dan Notis Arah Periksa turut dijalankan oleh pihak JPJ, menurut laporan Sinar Harian.

“Kesedaran berkaitan penggunaan cermin gelap ini dilihat masih rendah di kalangan pengguna jalan raya.

“Kesalahan berkenaan boleh menyebabkan pemandu atau pemilik berdaftar kenderaan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama,” katanya.

Tambah beliau, operasi ini dijalankan untuk memastikan semua pemandu dan pemilik kenderaan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan terutamanya kesalahan menggunakan cermin gelap pada kenderaan.

“Kadar penggunaan cermin gelap yang dibenarkan adalah 70 peratus ketelusan cahaya untuk cermin hadapan dan 50 peratus ketelusan cahaya untuk cermin sisi hadapan kiri dan kanan kenderaan.

“Pengguna jalan raya diingatkan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan seperti termaktub di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD