Sebuah kereta telah terjatuh ke dalam tebing akibat insiden tanah runtuh di Jalan Maju 1/4 Lembah Maju, Pandan Indah, pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, pihak polis menerima panggilan berhubung insiden tersebut sekitar jam 4.35 pagi tadi. Sejurus menerima panggilan telefon tersebut, pihak polis, bomba dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah dikejarkan ke tempat kejadian.
“Siasatan awal polis mendapati lokasi kejadian merupakan parkir awam bersebelahan sebuah longkang besar. Terdapat sebuah kereta Proton Saga yang di parkir terjatuh ke dalam runtuhan tebing,” katanya.
Pemilik Proton Saga tersebut yang dikenali sebagai Adrian Untam, meluahkan perasaan sedihnya kerana Proton Saga tersebut merupakan satu-satunya kenderaan yang ada dan digunakan untuk mencari rezeki.
Pemandu e-hailing itu berkata, dia meletakkan kereta itu di tempat letak kenderaan di kawasan berkenaan sekitar jam 9 malam selepas bekerja dan mengakui cuaca ketika itu baik dan tidak hujan, menurut laporan Harian Metro. Adrian menemui jalan mati kerana kenderaan tersebut yang dibeli pertama kali pada tahun 2022, mengalami kerosakan yang teruk.
Sementara itu, seorang penduduk turut berkongsi bahawa dia tidak menyangka kejadian yang sama berulang lagi di lokasi yang sama.
“Sekarang kalau hujan memang bimbang dan saya akan parkir kereta jauh (daripada kawasan tebing dan longkang). Saya harap pihak berkaitan lebih peka dengan perkara ini untuk keselamatan penduduk setempat.
“Saya berharap selepas ini pihak berkenaan juga dapat membuat penghadang konkrit (kekal atau usaha lain yang lebih sesuai) kerana sebelum ini memang tiada penghadang dan kawasan di situ terbuka (tanpa penghadang) ,” katanya.