Pemandu Lori Positif Dadah Akan Digantung Lesen dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan – JPJ

Pemandu lori yang didapati positif dadah dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan yang telah dijalankan sepanjang Oktober lalu di seluruh negara akan digantung lesen oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, operasi yang telah bermula sejak 1 Oktober itu telah berjaya mengesan seramai 79 pemandu positif dadah daripada 1,713 pemandu yang telah disaring berusia dalam lingkungan 22 hingga 55 tahun.

“Ini merupakan satu kesalahan yang serius kerana kebanyakan pemandu ini merupakan pemandu lori atau pemandu kenderaan perkhidmatan awam dan JPJ serta agensi-agensi sahabat iaitu AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) dan polis mengambil serius terhadap kesalahan-kesalahan yang dikesan ini.

“Kita akan menunggu hasil ujian yang kedua untuk menentukan tahap ujian saringan kepada pemandu berkenaan. Sekiranya ujian kedua diperoleh dan mereka masih lagi positif dadah… kita JPJ akan mengenakan atau mengambil tindakan iaitu menggantung lesen pemandu-pemandu berkenaan,” katanya.

Tindakan penggantungan lesen itu dilaksanakan agar dapat mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya yang melibatkan kenderaan perdagangan selain untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.

Beliau turut berkongsi bahawa sebanyak 526,215 kenderaan perdagangan telah berjaya diperiksa dalam operasi tersebut dan sebanyak 69,379 kenderaan telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan jalan raya, menurut laporan Sinar Harian.

Selain itu, sebanyak 551 kenderaan perdagangan juga telah disita kerana gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan pelekat kenderaan dengan logo agensi penguat kuasa seperti JPJ dan polis dan sentiasa membawa dokumen berkaitan ketika memandu.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD