SAIC Motor Malaysia telah meraikan lebih dari 20 pemilik baharu untuk model sedan mereka, MG5, sewaktu sesi penyerahan kenderaan kepada pemilik dijalankan di MG Motor Glenmarie (Mega Galeri Sdn Bhd).
“MG5 telah menarik minat pembeli yang mengutamakan gaya dan keperibadian, dan kami amat teruja untuk meraikan kejayaan ini bersama pelanggan kami,” kata Lee Wen Hsiang, Ketua Pegawai Operasi SAIC Motor Malaysia.
“Acara ini memberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pelanggan, mendengar maklum balas mereka, serta meraih pandangan mengenai tahap kepuasan yang mereka alami. Inisiatif ini bukan sahaja membantu kami mempertingkatkan perkhidmatan, tetapi juga mengukuhkan komuniti yang kukuh dengan semangat MG,” tambahnya.
Untuk makluman, MG5 berukuran 4,675 mm panjang, 1,842 mm lebar, 1,473 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,680 mm. Bagi enjin, ia didatangkan dengan enjin 1.5 liter empat-silinder DOHC NA dan mampu menjana kuasa sebanyak 114 PS dan 150 Nm tork.
Hanya satu varian ditawarkan untuk jualan di Malaysia dengan harga bermula RM93,900 (on-the-road tanpa insurans). Sempena ulang tahun MG yang ke-100, MG Malaysia masih lagi menawarkan rebat pengenalan sebanyak RM7,000, menjadikan harganya kini hanya RM86,900.
Pemilik MG5 baharu juga dapat menikmati 5 tahun Jaminan Waranti Tanpa Had Jarak Perbatuan dan 7 tahun Jaminan Waranti Tanpa Had Jarak Perbatuan untuk rangkaian kuasa, menjadikannya jaminan terbaik dalam segmennya.