Chery Auto Malaysia telah berjaya mengeluarkan kenderaan elektrik Omoda E5 yang pertama dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Inokom.
“Pengeluaran pertama OMODA E5 tempatan kami mencerminkan dedikasi kami kepada kualiti, inovasi, dan pasaran Malaysia,” kata Leo Chen, Presiden Chery Auto Malaysia.
Chen menegaskan bahawa pemasangan tempatan membolehkan harga yang lebih kompetitif dan melambangkan pelaburan jangka panjang Chery di Malaysia, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran.
Chen turut menyatakan bahawa langkah ini selaras dengan dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi kenderaan elektrik.
Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Berhad, turut mengakui pencapaian ini adalah bukti kerjasama kukuh antara Sime Darby dan Chery, dengan tumpuan kepada mobiliti lestari dan pertumbuhan masa depan.
Turut hadir bersama pada majlis tersebut, Timbalan Menteri, Liew Chin Tong, yang memuji Chery kerana mengambil 99% pekerja Malaysia dalam peranan pemasangan, menggalakkan pekerjaan dengan gaji lebih baik untuk rakyat tempatan melalui automasi dan teknologi, berbanding bergantung kepada pekerja asing tanpa kemahiran.
Beliau juga berkongsi pertumbuhan kenderaan elektrik bateri (BEV) di Malaysia yang semakin meningkat, dengan lebih daripada 32,500 berdaftar, walaupun kebanyakannya diimport.
Omoda E5 kini menyertai barisan model Chery yang telah dipasang di Kulim, seperti Tiggo 7 Pro, Tiggo 8 Pro, dan Omoda 5. Telah dilancarkan pada bulan Mac, Omoda E5 adalah model elektrik pertama Chery di Malaysia, yang mampu menjana kuasa sebanyak 201 HP dan mampu mencapai jarak 430km.
Menjelang tahun hadapan, Chery merancang untuk meluaskan lagi barisan kenderaan elektriknya dengan kehadiran kereta elektrik bateri (BEV) dan kereta hibrid plug-in (PHEV) ke dalam pasaran Malaysia.