Sime Darby Motors, pengedar rasmi jenama BYD di Malaysia, telah melancarkan sebuah model SUV baharu iaitu Sealion 7 ke dalam pasaran Malaysia. 2 varian akan ditawarkan iaitu Premium dengan harga bermula RM183,800 dan Performance pada harga RM199,800 (on-the-road tanpa insurans).
Model ini berukuran 4,830 mm panjang, 1,925 mm lebar, 1,620 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,930 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 1,769 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya.
Untuk varian Premium, ia didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal RWD yang mampu menghasilkan 230 kW dan 380 Nm tork. Untuk jarak sejauh 567 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 82.5 kWh dengan sekali pengecasan. Pecutan 0-100 km/j didakwa dalam masa 6.7saat.
Bagi varian Performance pula, ia didatangkan dengan spesifikasi dwi-motor elektrik AWD yang mampu menghasilkan 390 kW dan 690 Nm tork. Untuk jarak sejauh 542 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 82.5 kWh dengan sekali pengecasan. Pecutan 0-100 km/j didakwa dalam masa 4.5 saat.
Bagi pengecasannya, ia boleh dicas menggunakan pengecas AC berkapasiti 11 kW manakala pengecas pantas DC berkapasiti 150 kW boleh mencapai status pengecasan 30% hingga 80% dalam masa 32 minit untuk kedua-dua varian.
Sama seperti model-model BYD yang lain, Sealion 7 juga didatangkan dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) sebagai sumber kuasa elektrik untuk menggunakan peralatan elektrik yang lain di luar.
Rekaan luarannya kini sudah diselarikan dengan rekaan signatur model-model terkini BYD. Ciri lain seperti lampu LED, lampu nyalaan siang LED dan roda aloi bersaiz 19 inci untuk Premium dan 20 inci untuk Performance dapat dilihat. Di bahagian belakang, tiada lagi tulisan panjang “Build Your Dreams” dan ia kini tampil dengan logo BYD yang baru.
Beralih kepada rekaan dalaman, SUV ini turut menerima skrin infotainment bersaiz 15.6 inci yang boleh berpusing, kluster instrumen digital 10.25 inci, bumbung kaca panoramik yang besar, tempat duduk balutan upholstery kulit Nappa, pendingin hawa automatik dwi-zon, pengecas tanpa wayar Qi, ambient lighting serta sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.
Bagi sistem keselamatan pula, kedua-dua varian Sealion 7 diberikan 9 beg udara, kamera 360 darjah, Electronic Parking Brake (EPB), Tyre Pressure Monitoring System (TPMS), ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak dan Advance Driving Assistance Systems (ADAS) yang mempunyai ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Automatic Emergency Braking (AEB), Lane Departure dan Blind Spot Detection.
Dua varian ini akan ditawarkan dengan 4 pilihan warna iaitu Cosmos Black, Aurora White, Atlantis Grey dan Shark Grey. Pelanggan yang berminat untuk melihat dan pandu uji, boleh hadir ke Level Upper Ground, The Exchange 106, Kuala Lumpur bermula 15 November sehingga 17 November ini.
Waranti 6 tahun/150,000 km untuk kenderaan, 8 tahun/160,000 km dengan State of Health (SOH) di atas 70% untuk bateri dan 8 tahun/150,000 km untuk unit pemanduan akan diberikan kepada semua pemilik Sealion 7.
Sempena pelancaran rasminya, pelanggan yang membuat tempahan sebelum 17 November dan mendaftar BYD Sealion 7 mereka sebelum 31 Disember 2024 akan mendapat pengecas rumah percuma dan kredit pengecasan bernilai RM800 secara percuma.