Sumber Minyak dan Gas Semakin Berkurangan di Semenanjung Malaysia – Rafizi Ramli

Menurut laporan Sinar Harian, sumber minyak dan gas semakin berkurangan kira-kira 50 peratus di Semenanjung Malaysia.

Ini telah dikongsikan sendiri oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, di mana sebelum ini, sumber minyak dan gas ini banyak membantu menaikkan ekonomi negara dan agihan pendapatan serta memberi banyak kelebihan. Namun, sumber kini hanya ada di Sabah serta Sarawak sahaja.

“Di sebelah semenanjung, kita memang semakin kehabisan minyak dan gas, lima hingga 10 tahun lepas, jumlah pengeluaran minyak kita ialah sebanyak 700,000 tong sehari, sekarang dalam 350,000 tong sehari.

“Dalam tempoh 10 tahun dah berkurang separuh dan akan kurang dengan lebih cepat,” kata beliau.

Mengulas lanjut, sumber yang ada di Sabah dan Sarawak pula akan digunakan untuk memenuhi tuntutan dan penggunaan di kedua-dua negeri tersebut.

“Ada juga usaha untuk dipertimbangkan kembali cara pengagihan pendapatan sumber Sabah dan Sarawak ini.

“Selain memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak, sumber ini sebahagian besar memang dieksport dan diikat dengan perjanjian jangka panjang oleh pembeli-pembeli,” katanya.

Isu ini menjadi cabaran yang besar kepada kerajaan dalam hal mengagihkan dan menentukan peruntukan untuk setiap negeri.

“Walaupun Malaysia baik dari segi pertumbuhan ekonomi, gaya hidup berubah, dulu naik motosikal ke kereta, tetapi gaji tak naik, perniagaan tak besar akhirnya perbelanjaan lebih besar daripada pendapatan yang ada.

“Jadi kalau kita tak tukar cara kita, maka kita akan hidup di luar kemampuan.

“Sekarang di Semenanjung, kita dah mengimport 30 peratus gas untuk menjana elektrik dalam industri dan jika tidak berhati-hati atau tidak ada langkah baik maka kita akan terus bergantung kepada negara asing,” katanya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD