Wujudkan Notifikasi Makluman Tarikh Tamat Tempoh Lesen di Aplikasi MyJPJ – Loke

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang untuk mewujudkan fungsi notifikasi permakluman tarikh tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) menerusi aplikasi MyJPJ, menurut laporan Sinar Harian.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, penambahbaikan itu dibuat selari dengan agenda pendigitalan jabatan berkenaan.

“Fungsi ini akan dimaklumkan kepada umum apabila ianya siap dibangunkan dan sedia untuk digunakan.

“Saya mengalu-alukan cadangan daripada Ahli Yang Berhormat Hulu Selangor untuk kita wujudkan fungsi notifikasi ini supaya orang ramai dapat memperbaharui LKM mereka,” katanya ketika menjawab pertanyaan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) berhubung langkah kementerian bagi mengingatkan pemilik kenderaan agar tidak terlupa untuk memperbaharui LKM.

Jelas Anthony lagi, sejak inisiatif pendigitalan JPJ dilancarkan, kementeriannya dan jabatan itu sentiasa komited untuk menambah baik aplikasi MyJPJ dari semasa ke semasa untuk meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan atas talian kepada orang ramai.

Antara penambahbaikan terkini yang dilaksanakan adalah pengenalan fungsi pembaharuan LKM dan pembaharuan Lesen Memandu (LMM) yang telah dibuka kepada orang awam sejak 1 Februari 2024.

“Seperti Ahli Yang Berhormat sedia maklum, MOT pada 10 Februari 2023 telah mengumumkan inisiatif pendigitalan JPJ yang melibatkan LKM atau cukai Jalan dan LMM.

“Inisiatif ini telah dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan mod paparan digital e-LKM dan e-LMM bagi kenderaan persendirian individu iaitu warganegara yang boleh diakses melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ,” katanya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD