Menurut statistik yang direkodkan bermula Januari hingga Oktober lalu, antara faktor yang menjadi penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya berlaku adalah melanggar lampu isyarat merah dan memandu laju.
Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jenis kenderaan tertinggi yang melibatkan kemalangan maut adalah kereta di sepanjang tempoh berkenaan.
Rekod sebanyak 17,905 kes kemalangan maut telah berlaku sepanjang tempoh 10 bulan ini, menurut laporan Sinar Harian.
“Kereta merekodkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 15,402 kes diikuti motosikal (1,040) dan lori (825).
“Selain itu, kategori yang turut terlibat dalam kemalangan maut adalah kenderaan pacuan empat roda sebanyak 619 kes serta pejalan kaki (19),” katanya.
Penyumbang kepada kemalangan jalan raya pula dikatakan berpunca dari sifat manusia yang sering hilang fokus dan lalai sewaktu memandu.
“Antaranya adalah memandu tanpa menghiraukan risiko ketika di jalan raya, tidak mematuhi kelajuan ditetapkan, mengejar belakang, mengejar lampu merah dan pelbagai gangguan lain ketika pemanduan.
“Selain itu, faktor lain juga disebabkan infrastruktur jalan dan kawasan sekitar serta faktor cuaca yang tidak menentu,” katanya.
Oleh yang demikian, pengguna jalan raya perlulah berada dalam keadaan bersedia sebelum melakukan pemanduan terutamanya untuk pemanduan jarak jauh.
“Pengguna perlu memastikan sentiasa dalam keadaan sihat serta tidak mengantuk selain memastikan kenderaan berada dalam kondisi selamat untuk dipandu.
“Ini akan memastikan bahawa kita dapat memandu dengan selamat dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya,” katanya.
Selain itu, pemandu juga harus bijak mengawal emosi ketika memandu dan pandu dengan berhemah untuk mengelakkan kemalangan jalan raya dari berlaku.
“Sebagai pengguna jalan raya juga, kita perlu mengawal emosi dan tidak terlalu terburu-buru semasa memandu untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.
“Mematuhi peraturan ditetapkan juga penting untuk keselamatan pengguna jalan raya terutamanya melibatkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu dan pematuhan lampu isyarat,” katanya.