Malaysia bakal menyaksikan perubahan besar dalam sistem tol apabila Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang giat merundingkan pelaksanaan sistem ‘Multi Lane Fast Flow’ (MLFF) – atau lebih dikenali sebagai sistem tol tanpa palang. Namun, 13 daripada 33 syarikat konsesi lebuh raya masih belum memberikan lampu hijau.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, menyatakan bahawa rundingan ini dijangka selesai sebelum 16 Disember 2024. Pelaksanaan sistem ini bakal memperkenalkan konsep konsesi atas konsesi, seperti yang sudah digunakan di negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Singapura.
“Daripada 33 syarikat konsesi, 20 sedang dirundingkan dan 13 lagi masih belum setuju. Jika tiada kata sepakat menjelang tarikh akhir, kita akan usulkan cadangan lain,” jelas Ahmad ketika menjawab soalan tambahan daripada Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat hari ini.
Sistem tol tanpa palang ini bukan sahaja memerlukan teknologi canggih, tetapi juga pindaan kepada akta sedia ada untuk mengelak isu pengguna lebuh raya yang culas membayar tol.
“Sekarang ini, 1.01% pengguna cuba elak bayar tol sama ada dengan melanggar palang atau mengekori rapat kenderaan lain. Tanpa kawalan fizikal seperti palang tol, kita jangka angka ini mungkin meningkat,” tambahnya.
Ahmad juga menegaskan bahawa mekanisme baharu harus dipastikan adil, efisien, dan mampu mengatasi isu pengguna yang cuba mengelak daripada membayar tol.
Jika sistem ini berjaya dilaksanakan, rakyat bakal menikmati perjalanan yang lebih lancar, bebas kesesakan di plaza tol, dan masa perjalanan yang lebih singkat. Namun, persoalannya, adakah Malaysia sudah bersedia untuk meninggalkan sistem lama dan beralih sepenuhnya kepada MLFF?
Dengan tarikh akhir semakin hampir, semua mata kini tertumpu kepada rundingan KKR dengan syarikat konsesi. Sistem tol tanpa palang ini mungkin menjadi langkah pertama ke arah revolusi pengangkutan negara, tetapi hanya jika semua pihak dapat mencapai kata sepakat.