12,194 Unit Berjaya Dijual Proton pada November 2024 – Jumlah Jualan Eksport Turut Meningkat

12,194 Unit Berjaya Dijual Proton pada November 2024 – Jumlah Jualan Eksport Turut Meningkat

Prestasi jualan bulan November telah diumumkan oleh Proton dengan penjualannya mencapai 12,194 unit kenderaan (domestik & eksport) dan masih berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di tempat kedua bagi jualan kenderaan di Malaysia.

Sedikit menurun berbanding dengan jumlah jualan pada Oktober iaitu sebanyak 12,799 unit. Namun, jualan keseluruhan bagi sebelas bulan pertama tahun ini telah merekodkan sebanyak 137,751 unit berjaya dijual oleh Proton. Dengan angka ini, pegangan pasaran mereka kini berada pada 18.8%.

Proton Saga masih lagi mengekalkan kedudukannya sebagai model paling laris di dalam Proton dengan jumlah jualannya pada November mencapai 5,916 unit. Ini menjadikan jumlah terkumpul bagi Saga pada tahun ini sahaja sudah mencecah sebanyak 66,094 unit.

Proton X50 2024 juga menunjukkan jumlah jualan yang kukuh untuk lima bulan berturut-turut sejak pelancarannya dengan jumlah jualannya sebanyak 1,911 unit pada November. Ini menjadikan X50 sebagai SUV segmen-B paling laris di Malaysia dan sudah mencecah sebanyak 21,033 unit.

Ia seterusnya disambung oleh Proton Persona dengan jumlah jualannya sebanyak 1,394 unit, sekaligus mencatat jumlah terkumpul untuk tahun ini sebanyak 17,325 unit.

Proton S70 juga menunjukkan prestasi yang hebat dan mengagumkan di mana sebanyak 1,312 unit berjaya dijual pada November. Ini menjadikan jumlah kumulatif tahunannya mencapai 17,512 unit. Ia disambung dengan Proton X70 sebanyak 1,065 unitProton Iriz sebanyak 319 unit dan Proton X90 sebanyak 277 unit pada November 2024.

“Menjelang bulan terakhir 2024, semua rakan sekerja di Proton sedang bersiap sedian untuk mendorong angka jualan menjelang hujung tahun. Komitmen kami dalam menghasilkan kenderaan berkualiti terbukti melalui kejayaan berterusan model-model seperti Proton X70, Proton X90 dan Proton Saga, yang kesemuanya telah mencapai kejayaan penting tahun ini.

“Dengan pelancaran Proton e.MAS7 yang dinantikan pada 16 Disember, disertai dengan pertumbuhan eksport yang menggalakkan dan tumpuan kepada inovasi, kami yakin Proton akan terus menjadi peneraju dalam industri automotif, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Selain itu, sebanyak 480 unit Proton Saga pemanduan kiri (LHD) dieksport ke Mesir bulan lalu, mencatatkan pertumbuhan luar biasa sebanyak 300% berbanding dengan 120 unit yang dihantar ke negara tersebut pada bulan sebelumnya. Sehingga kini, sebanyak 2,203 unit Proton Saga telah dieksport tahun ini, menjadikan jumlah eksport 2024 melebihi jumlah eksport keseluruhan tahun 2023.

Proton juga telah berjaya menghantar batch pertama CKD ke Mesir pada 9 September lalu, selain pembukaan kilang CKD di Kaherah untuk pemasangan Proton Saga oleh rakan kongsi Proton. Bersama pertumbuhan jualan di negara lain, jumlah jualan eksport terkumpul kini mencapai 3,652 unit berbanding 3,636 unit pada tahun lalu.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD