Seksyen 2 Lebuhraya WCE Kini Dibuka pada Orang Ramai – Tol Percuma Selama Sebulan!

Seksyen 2 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan persimpangan bertingkat SKVE sehingga ke persimpangan bertingkat SAE kini rasmi telah dibuka pada orang ramai.

Ia telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, semalam dalam satu majlis pelancaran Lebuhraya WCE bagi Seksyen 2 di tol berkenaan.

Jajaran sepanjang 7.2 kilometer di Seksyen 2 ini menghubungkan pengguna di sekitar Banting untuk ke bandar-bandar utama seperti Shah Alam, Klang, Putrajaya, Kajang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta sebaliknya.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, susulan dengan pembukaan jajaran dari Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat SKVE pada 31 Ogos yang lalu, kini kedua-duanya bakal melengkapkan jajaran di Lebuhraya WCE.

“Pembukaan kedua-dua jajaran ini akan mempercepatkan perjalanan dari Shah Alam ke Banting atau KLIA berbanding jalan sedia ada, sekali gus memberi impak positif kepada mobiliti penduduk dan aktiviti ekonomi di kawasan tersebut.

“Dengan adanya jaringan perhubungan lebuh raya lebih baik ini dijangka menarik pelaburan ke kawasan perindustrian sedia ada seperti Pulau Indah, Telok Panglima Garang dan Bandar Botanik serta merangsang sektor industri dan komersial di sepanjang koridor ini,” ujarnya.

Selain itu, sambungan strategik ke Pelabuhan Klang bagi sektor pengangkutan kargo turut dapat dimanfaatkan dari pembukaan Lebuhraya WCE ini. Pembukaan jajaran ini merupakan sebahagian daripada Lebuhraya WCE sepanjang 314.5 kilometer yang akan menghubungkan Banting di Selangor hingga ke Taiping di Perak, lapor Sinar Harian.

“Dengan siapnya lebuh raya ini, WCE akan menjadi antara pemangkin utama dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, khususnya di sepanjang koridor barat Semenanjung Malaysia, meningkatkan aktiviti pelancongan domestik di samping akan mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama jajaran Lembah Kelang ke utara Semenanjung,” ujarnya.

Tol percuma akan diberikan selama sebulan bermula hari ini sehingga 21 Februari depan agar pengguna boleh menggunakannya menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina ini bagi mengelakkan kesesakan di lebuhraya utama.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD