NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Lebih 100,000 Saman Pelbagai Kesalahan Trafik Dikeluarkan Sempena Op Selamat

Lebih 100,000 Saman Pelbagai Kesalahan Trafik Dikeluarkan Sempena Op Selamat

Sepanjang Op Selamat 23/2025 sempena Tahun Baru Cina yang telah pun berakhir semalam, sebanyak 104,235 saman telah dikeluarkan oleh pihak polis di atas pelbagai kesalahan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Sri Mohd Yusri Hassan Basri, angka pada kali ini menunjukkan penurunan sebanyak 43 peratus iaitu 78,798 saman berbanding 183,033 saman pada Op Selamat 21/2024.

6 kesalahan utama telah diberi tumpuan sepanjang Op ini dijalankan iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong kenderaan di garisan berkembar dan memotong barisan, melanggar lampu isyarat dan memandu menggunakan alat komunikasi atau telefon bimbit, lapor Berita Harian.

“Saman memandu melebihi had laju mendahului enam kesalahan utama bagi Op Selamat 23/2025 sehingga semalam membabitkan jumlah saman paling tinggi sebanyak 44,940 saman.

“Ini diikuti dengan saman bagi kesalahan melanggar lampu isyarat sebanyak 2034 saman, memandu menggunakan alat komunikasi (869), memandu di lorong kecemasan (602), memotong barisan (573) diikuti memotong garisan berkembar (321),” katanya.

Op Selamat 23/2025 telah bermula sejak 28 Januari yang lalu untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan memastikan aliran trafik berjalan lancar. Selain itu, Op ini turut dijalankan untuk mencegah jenayah pecah rumah pada musim perayaan dengan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

“Untuk Op Selamat kali ini, pihak JSPT menempatkan 3,609 pegawai dan anggota untuk memastikan penugasan Op Selamat berjalan dengan lancar dan mencapai objektif.

“Kita lihat hari ini, hari terakhir Op Selamat mendapati jumlah kenderaan semakin meningkat dari arah utara ke selatan.

“Pihak polis sentiasa mengambil tindakan segera terhadap kes kemalangan yang berlaku sepanjang Op Selamat 23 bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar,” katanya.

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy