NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

5 Item Dikecualikan JPJ dari Pemeriksaan Puspakom, Elak Kesesakan

5 Item Dikecualikan JPJ dari Pemeriksaan Puspakom, Elak Kesesakan

5 item tidak kritikal dalam pemeriksaan kenderaan perdagangan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) telah dikecualikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bermula Isnin lepas.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, langkah itu diambil untuk mengurangkan kesesakan di Puspakom serta meningkatkan kecekapan sistem pemeriksaan kenderaan.

“Pengecualian ini diperkenalkan melalui konsep deklarasi kendiri bagi lima item pemeriksaan yang tidak melibatkan aspek keselamatan,” katanya.

Menurut laporan Sinar Harian, 5 item tersebut adalah tanda badan kenderaan, tanda had laju, kit bantuan kecemasan, nombor pendaftaran, dan keadaan tempat duduk penumpang. Pemilik kenderaan perdagangan hanya perlu membuat deklarasi kendiri sahaja.

“Deklarasi kendiri ini boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang Puspakom dengan mengisi borang yang mengandungi bahagian pengesahan pematuhan terhadap lima item tersebut,” katanya.

Walau bagaimanapun, JPJ menegaskan bahawa mereka tetap akan menjalankan pemantauan untuk memastikan pengguna jalan raya kekal mematuhi peraturan lalu lintas.

“Bagi mana-mana kenderaan yang telah gagal pemeriksaan melibatkan lima item tersebut sebelum tarikh pelaksanaan, pemilik boleh terus menjalani pemeriksaan semula di Puspakom secara dalam talian bermula Isnin.

“Kelonggaran ini hanya diberikan kepada kenderaan yang gagal pemeriksaan bagi lima item tersebut sahaja, tanpa melibatkan mana-mana item pemeriksaan lain,” katanya.

Aedy Fadly turut menjelaskan bahawa pelaksanaan deklarasi kendiri ini hanya terpakai dalam prosedur pemeriksaan di Puspakom.

“Setiap kenderaan masih tertakluk kepada pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk lima item tersebut yang akan dikuatkuasakan oleh JPJ dan agensi penguatkuasaan lain di jalan raya,” tegasnya.

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy