Juruterbang Tertinggal Pasport, Pesawat Terpaksa Patah Balik!

Juruterbang Tertinggal Pasport, Pesawat Terpaksa Patah Balik!

Satu insiden luar biasa berlaku apabila sebuah pesawat United Airlines yang sedang menuju ke China terpaksa berpatah balik ke Amerika Syarikat (AS) kerana juruterbangnya… terlupa membawa pasport!

Penerbangan UA198 yang membawa 257 penumpang dan 13 kru itu dijadualkan terbang selama hampir 14 jam dari Los Angeles (LA) ke Shanghai pada Sabtu lalu. Namun, selepas hampir dua jam di udara, pesawat Boeing 787-9 itu terpaksa berpatah balik dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco.

Menurut data dari Flightradar24, pesawat tersebut sempat merentasi Lautan Pasifik sebelum menyedari masalah yang mungkin boleh menyebabkan ketua juruterbangnya ‘tertinggal’ di pintu imigresen Shanghai.

Seorang penumpang, Paramjot Singh Kalra, meluahkan rasa tidak puas hati di platform X, “Gara-gara juruterbang tertinggal pasport, kami terkandas lebih enam jam. Hal ini sememangnya tidak boleh diterima. @united, pampasan apa yang anda boleh tawarkan atas kegagalan pengendalian ini?”

Mujurlah pihak United Airlines bertindak pantas dengan menyediakan baucar makanan dan ganti rugi kepada semua penumpang. Walaupun terpaksa berlepas enam jam lebih lewat daripada jadual asal, sekurang-kurangnya semua orang berjaya tiba di destinasi termasuk juruterbang yang kali ini, kami pasti, membawa pasportnya!

Mungkin selepas ini, selain pemeriksaan enjin dan bahan bakar, syarikat penerbangan boleh tambah satu lagi prosedur keselamatan: “Juruterbang, sila semak pasport anda sebelum berlepas!”

Sumber: Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD