Perang harga yang sedang berlaku dan dimulakan oleh jenama automotif dari China memberi kesan besar kepada industri automotif tempatan, terutamanya pengeluar yang mempunyai kilang di Malaysia, lapor New Straits Times.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Roslan Abdullah, berkata walaupun diskaun besar yang ditawarkan oleh sesetengah jenama menguntungkan pengguna, ia memberi kesan negatif kepada pembekal tempatan yang selama ini membekalkan komponen dan alat ganti kenderaan.
Beliau menjelaskan bahawa perang harga ini bukan sahaja menjejaskan pengeluar dan kilang pemasangan, tetapi juga pembekal dan pengedar tempatan. Dengan harga yang lebih murah, ada pelanggan yang segera membeli, manakala yang lain menunggu harga turun lagi, menyebabkan lambakan stok kenderaan.
Roslan turut berkata pasaran kereta terpakai juga terjejas. Harga kereta baharu yang rendah menyebabkan nilai jual semula jatuh. Contohnya, jika sebuah kereta yang dibeli pada harga RM100,000 kemudian dijual pada RM80,000, ia menjejaskan kadar susut nilai dan pasaran tukar beli. Ini menyebabkan lebih ramai memilih kereta baharu kerana harganya tidak jauh beza dengan kereta terpakai.
Menurutnya, pengeluar tempatan tidak mampu turunkan harga seperti jenama dari China kerana kos operasi mereka lebih tinggi, termasuk kos pembuatan dan rantaian bekalan. Sebagai ganti, mereka menawarkan promosi seperti rebat tunai dan pakej aksesori bagi menampung perbezaan harga.
Bagi Proton sendiri, Roslan berkata syarikat perlu berhati-hati dalam perancangan supaya kekal untung. Proton menggaji lebih 7,000 pekerja dan mempunyai lebih 5,000 pekerja dalam rangkaian jualan. Pembekal besar yang bekerjasama dengan banyak jenama mungkin boleh bertahan, tetapi pembekal kecil yang hanya bergantung pada satu jenama akan terkesan.
Beliau turut menjelaskan bahawa kebanyakan jenama dari China menggunakan konsep completely built-up (CBU) atau semi-knocked down (SKD), yang memerlukan pelaburan lebih rendah berbanding syarikat tempatan seperti Proton. Ini membolehkan mereka menawarkan harga lebih murah, tetapi memberi tekanan jangka panjang kepada pengeluar tempatan.
Roslan menekankan perlunya kerajaan menilai semula kesan perang harga ini demi melindungi jenama tempatan yang sudah lama bertapak. Walaupun pelaburan asing penting, kerajaan juga perlu memastikan jenama tempatan dengan kilang sendiri dan rangkaian pembekal dapat terus bersaing.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?