NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Seorang Penumpang Maut, Kenderaan Terbabas dan Terjunam dalam Sungai

Seorang Penumpang Maut, Kenderaan Terbabas dan Terjunam dalam Sungai

Seorang individu maut selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Kilometer 80 jalan Gua Musang-Lojing semalam.

Ketua Polis Gua Musang, Supt Sik Choon Foo, berkata pihak polis menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar jam 4.40 petang daripada anggota di Pondok Polis Lojing.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang. Kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dari Blue Valley menuju ke Gua Musang dipercayai hilang kawalan selepas melalui jalan yang dinaiki air akibat hujan lebat.

Menurut laporan Bernama, kenderaan itu kemudian meluncur turun dari cerun dan terjatuh ke dalam sungai berhampiran.

Pemandu dan seorang penumpang yang duduk di bahagian belakang sempat menyelamatkan diri dengan melompat keluar, namun seorang lagi penumpang di bahagian hadapan tidak sempat keluar dan lemas di tempat kejadian.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang. Kes ini masih dalam siasatan untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat Insp Aida di 012-4027283.

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy