BMW Motorrad Lancar BMW F 900 XR Baharu di Malaysia – Harga Bermula RM83k, RM1.2k Sebulan

BMW Motorrad Malaysia telah melancarkan motosikal BMW F 900 XR baharu ke dalam pasaran Malaysia pada harga bermula RM82,500. Harga ini termasuk jaminan 3 tahun dan bantuan tepi jalan 3 tahun, tidak termasuk insurans. Manakala dengan pelan pembiayaan, BMW F 900 XR boleh dimiliki dari RM1,158 sebulan.

BMW F 900 XR kini hadir dengan peningkatan reka bentuk dan teknologi, khas untuk motosikal kategori pertengahan jarak jauh.

F 900 XR memberi kawalan tepat di laluan mencabar dan kekal stabil untuk perjalanan jauh. Ia dilengkapi dengan fork teleskopik terbalik baharu yang lebih kukuh dan boleh dilaras. Rim aluminium yang lebih ringan dan bateri baharu mengurangkan berat keseluruhan sebanyak 3 kg. Spoiler enjin menambah gaya dan membantu aliran udara lebih baik.

Ciri lain yang ditambah untuk keselesaan dan keselamatan termasuk penghadang angin, pelindung tangan, sistem Headlight Pro untuk penglihatan lebih jelas, serta lampu isyarat belakang yang direka semula. Ia juga hadir dengan port USB-C dan pemegang pemanas tangan sebagai standard.

Enjin F 900 XR berkapasiti 895 cc dengan dua silinder mampu menghasilkan 105 hp dan 93 Nm tork. Ia boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat, dengan kelajuan maksimum melebihi 200 km/j. Transmisi 6-kelajuan dan klac pelbagai cakera memberikan pengalaman menunggang yang lancar.

Dari segi keselamatan, F 900 XR dilengkapi dengan Dynamic Brake Control, ABS Pro untuk brek yang lebih selamat di selekoh, serta Dynamic ESA untuk kestabilan. Gear Shift Assistant Pro membolehkan pertukaran gear tanpa klac, manakala Tyre Pressure Control memantau tekanan tayar secara automatik.

Ciri tambahan lain termasuk sistem Keyless Ride yang tidak memerlukan kunci tradisional dan Cruise Control untuk perjalanan jauh yang lebih selesa. Terdapat juga pemegang bagasi di bahagian belakang untuk kemudahan membawa barang.

BMW F 900 XR ditawarkan dalam warna Racing Blue atau Lightwhite dengan gabungan warna hitam, merah dan biru. Pembeli juga menikmati faedah seperti minyak enjin premium, servis dan jaminan lanjutan dari BMW Motorrad Malaysia.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD