Kerajaan digesa mengambil tindakan segera untuk menyekat akses orang awam kepada aplikasi InDrive dan Maxim yang didakwa beroperasi tanpa kelulusan sah, sekali gus menimbulkan risiko terhadap keselamatan pemandu dan pengguna di negara ini.
Menurut Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar Malaysia), kerajaan juga perlu mengeluarkan kenyataan rasmi yang memperjelaskan status sebenar operasi kedua-dua platform tersebut, susulan penerimaan surat arahan penutupan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum ini.
Dalam kenyataan rasmi persatuan itu pada Selasa, dimaklumkan bahawa kedua-dua aplikasi e-hailing tersebut masih aktif menawarkan perkhidmatan walaupun tidak mematuhi peraturan di bawah undang-undang sedia ada, termasuk syarat memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah.
“Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan keadilan bagi pemandu yang mematuhi undang-undang, malah turut membahayakan keselamatan penumpang.
“Kami mendapati terdapat pemandu yang dibenarkan beroperasi tanpa lesen PSV, tidak mempunyai perlindungan insurans e-hailing serta gagal menjalani pemeriksaan kenderaan seperti yang ditetapkan,” jelas kenyataan itu.
Persatuan tersebut turut mengkritik kenyataan umum pihak InDrive yang mendakwa operasi mereka berjalan seperti biasa walaupun telah menerima amaran dan arahan penutupan daripada APAD.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan menegaskan bahawa tiada mana-mana penyedia perkhidmatan e-hailing di Malaysia dibenarkan menggunakan sistem bidaan harga tambang kepada penumpang.
Namun begitu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Asia Tenggara dan Luar Negara inDrive, Afanasiy Petrov, dilaporkan berkata bahawa lesen operasi syarikat itu telah disambung selama dua tahun lagi dan perkhidmatan akan diteruskan seperti biasa.
Penghantar Malaysia turut menegaskan bahawa penguatkuasaan yang tegas dan berterusan perlu segera dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi memastikan aplikasi yang tidak sah benar-benar dihentikan operasinya di negara ini.
“Kita tidak mahu insiden lama berulang kembali, apabila aplikasi yang telah diharamkan masih boleh terus beroperasi melalui saluran lain.
“Kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang tegas dalam menjamin keselamatan pemandu serta pengguna, selain memastikan keadilan dan integriti dalam industri gig sektor e-hailing,” tegas mereka lagi.
SUMBER: SinarHarian