5 Buah Kenderaan di Jalan Klang-Banting Berdepan Detik Cemas, Dirempuh Sebuah Treler

Para pemandu di sepanjang Jalan Klang–Banting cemas apabila sebuah treler hilang kawalan dan merempuh lima buah kenderaan berhampiran sebuah bank semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, kemalangan itu berlaku sekitar jam 12.15 tengah hari. Pemandu treler tersebut hilang kawalan dan melanggar belakang sebuah treler lain serta empat buah kenderaan.

Menurut laporan New Straits Times, kenderaan lain yang terlibat ialah Proton X90, Proton Persona, Proton Gen2, dan Toyota Alphard.

Siasatan mendapati kenderaan-kenderaan itu berhenti untuk memberi laluan kepada Proton Gen2 yang sedang cuba untuk masuk ke petak parkir di bahu jalan, sebelum dirempuh treler berkenaan.

Tiada kecederaan dilaporkan. Semua pemilik kenderaan telah membuat laporan polis dan memberikan keterangan mereka.

Pemandu treler, yang berusia 40-an, memiliki lesen memandu yang sah dan didapati negatif dadah. Pihak polis telah merampas treler tersebut dan akan menjalankan pemeriksaan teknikal bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-1853 9115 atau 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD