NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Rafizi Ramli Letak Jawatan Sebagai Menteri Ekonomi – Satu Bab Baharu Ekonomi Negara?

Rafizi Ramli Letak Jawatan Sebagai Menteri Ekonomi – Satu Bab Baharu Ekonomi Negara?

Malaysia telah dikejutkan tengahari tadi dengan berita perletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi yang diumumkan menerusi akaun FB rasmi beliau sendiri.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Pandan itu berkata beliau telah menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perletakan jawatannya akan berkuat kuasa pada 17 Jun, tetapi beliau akan menggunakan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun.

Rafizi menjelaskan bahawa beliau menceburi dunia politik untuk membawa budaya politik baharu yang berasaskan tanggungjawab dan mandat rakyat.

Memandangkan beliau kalah dalam pemilihan parti PKR baru-baru ini, beliau merasakan tidak lagi mempunyai sokongan parti untuk meneruskan agenda rakyat melalui kerajaan. Beliau menambah bahawa di negara demokrasi, adalah perkara biasa untuk pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti memberi laluan kepada yang menang.

Pengumuman peletakan jawatan ini dibuat lima hari selepas Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR. Sebelum ini, beliau telah berjanji akan meletak jawatan dalam Kabinet jika tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut.

Namun begitu, Rafizi menjelaskan bahawa beliau tidak akan meninggalkan dunia politik sepenuhnya dan akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan.

Beliau berkata tugas terakhirnya sebagai Menteri Ekonomi ialah menyiapkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang kini telah siap dan akan dibentangkan dalam sidang Parlimen yang akan datang.

Rancangan ini memberi tumpuan kepada pembaharuan dalam sektor pendidikan, khususnya melibatkan Kementerian Pendidikan. Beliau berharap Kabinet akan mengekalkan pembaharuan tersebut walaupun beliau tidak lagi bersama mereka.

Rafizi juga telah berjaya melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU) pada 2 Januari 2024 di mana ia menyimpan data ekonomi rakyat dan digunakan untuk memberi bantuan kewangan dan yang terbaru, untuk menentukan pemberian subsidi.

Rafizi yakin usaha Kementerian Ekonomi untuk memperbaiki struktur ekonomi negara akan terus dilaksanakan dengan baik oleh penjawat awam yang berkemampuan. Beliau memuji kecekapan mereka dalam menggubal dasar dan melaksanakan program dengan berkesan.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD