Malaysia akan melaksanakan penguatkuasaan penuh skim Vehicle Entry Permit (VEP) untuk kenderaan asing dari Singapura yang memasuki negara melalui jalan darat bermula 1 Julai, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata pemilik kenderaan asing yang belum mendaftar atau mengaktifkan VEP mereka sebelum tarikh tersebut akan dikenakan saman RM300.
“Kita mula program ini secara lembut pada Oktober tahun lalu, hanya memberi penerangan tanpa mengeluarkan saman. Tetapi mulai 1 Julai, saman akan dikeluarkan jika tiada VEP yang sah,” katanya menurut laporan The Star.
Loke menjelaskan bahawa tindakan ini selaras dengan Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang menjadikan membawa masuk kenderaan asing tanpa permit sah sebagai satu kesalahan.
Bagi kenderaan yang tiada VEP sah, pemilik perlu mendaftar dan membayar saman sebelum meninggalkan Malaysia. Jika VEP sudah didaftarkan tetapi belum diaktifkan, saman tetap perlu dibayar sebelum keluar dari negara. Bagi kenderaan syarikat yang telah didaftarkan, notis peringatan akan diberikan dan mereka dibenarkan keluar.
Saman akan diberikan secara fizikal dan bayaran hanya boleh dibuat secara tanpa tunai di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kaunter bergerak, atau secara dalam talian melalui MyEG.
Loke memberi jaminan bahawa pemilik kenderaan dari Singapura masih boleh masuk ke Malaysia, tetapi jika tiada VEP, sistem akan mengesan mereka. Mereka akan disaman dan perlu mendaftar untuk VEP sebelum dibenarkan keluar dari Malaysia.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemeriksaan akan dilakukan jauh dari pintu masuk sempadan bagi mengelakkan kesesakan.
“Pemeriksaan ini akan dijalankan melalui operasi, bukan oleh pegawai secara individu, dan di pelbagai lokasi dari semasa ke semasa. Sistem kita boleh kesan kenderaan yang tiada VEP,” katanya.
Sehingga 2 Jun, sebanyak 231,018 tag RFID telah dikeluarkan kepada kenderaan persendirian, namun 36,511 daripadanya masih belum diaktifkan atau dipasang.
Skim VEP bermula pada 1 Oktober tahun lalu dengan memberi tumpuan kepada penerangan dan kesedaran. Setiap kenderaan perlu mempunyai tag RFID VEP yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia dan dihubungkan dengan akaun e-wallet Touch ‘n Go.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?