NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Lori Ikan Gagal Membrek, Rempuh 5 Kenderaan – 16 Individu Hampir Maut

Lori Ikan Gagal Membrek, Rempuh 5 Kenderaan – 16 Individu Hampir Maut

Seramai 16 orang, termasuk empat kanak-kanak, terselamat dalam satu kemalangan melibatkan enam kenderaan di KM 341.5 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bidor malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, sepasukan anggota dari Balai Bomba Bidor segera ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7:26 malam. Lokasi kejadian terletak kira-kira 15 km dari balai mereka.

Menurut laporan Bernama, kemalangan itu melibatkan lima buah kereta dan sebuah lori lima tan yang membawa ikan. Nasib baik tiada mangsa yang tersepit atau mengalami kecederaan serius, hanya pening dan trauma.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori gagal membrek lalu melanggar sebuah Proton Exora, yang kemudiannya melanggar kenderaan lain.

Seramai 16 orang terlibat iaitu lapan lelaki (termasuk seorang lelaki Arab yang memandu Exora), empat wanita dan empat kanak-kanak.

Empat mangsa yang mengalami pening dan trauma telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Operasi menyelamat tamat pada jam 8:20 malam.

Akaun rasmi PLUS Trafik X kemudian memaklumkan bahawa semua kenderaan terlibat telah dialihkan. Kedua-dua lorong yang ditutup sementara telah dibuka semula, walaupun trafik masih perlahan.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Johari Yahya mengesahkan pemandu lori tidak sempat membrek dan melanggar belakang sebuah kereta di lorong kanan. Beliau turut mengesahkan bahawa semua lorong kini telah dibuka semula dan tiada mangsa yang cedera.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD