Seramai 25 penumpang berdepan detik cemas apabila sebuah bas ekspres yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik ke dalam longkang di Kilometer 342.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, tengah hari tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Johari Yahya, pihak polis menerima laporan kejadian sekitar jam 1 tengah hari. Bas berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati pemandu bas berusia 31 tahun dipercayai mengalami ‘micro sleep’ (tertidur seketika), menyebabkan dia hilang kawalan ke atas kenderaan. Bas itu kemudian terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan,” katanya.
Akibat kejadian itu, bas mengalami kerosakan di bahagian hadapan, belakang, kiri dan kanan. Walaupun situasi kelihatan serius, semua penumpang berjaya keluar dari bas dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi.
Tiga orang mengalami kecederaan ringan, manakala yang lain tidak mengalami kecederaan serius. Kes disiasat lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Hasil ujian saringan mendapati pemandu bas negatif dadah, dan semakan terhadap kenderaan menunjukkan insurans bas masih sah hingga Mac tahun hadapan.
Kes kini disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana menyebabkan kecederaan ringan. Tiada tangkapan dibuat setakat ini, dan siasatan lanjut masih dijalankan.
SUMBER : HarianMetro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?