Honda Malaysia Panggil Semula 87,490 Kenderaan Akibat Isu Pam Bahan Api

Honda Malaysia hari ini mengumumkan panggilan balik melibatkan 87,490 unit kenderaan di seluruh negara bagi menggantikan pam bahan api sebagai langkah keselamatan dan pencegahan awal.

Dalam kenyataan rasmi, syarikat memaklumkan bahawa dua komponen utama dikenal pasti sebagai punca kepada isu tersebut — iaitu impeler pam bahan api dan pam bahan api tekanan tinggi. Kerosakan pada komponen ini boleh menyebabkan enjin gagal dihidupkan atau mati secara tiba-tiba ketika memandu, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Sebanyak 84,073 unit kenderaan keluaran antara tahun 2013 hingga 2020, termasuk model Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V, CR-V dan Odyssey, terjejas akibat kemungkinan impeler mengembang selepas terendam dalam bahan api untuk jangka masa panjang.

Selain itu, 3,417 unit model Civic dan CR-V keluaran tahun 2023 dan 2024 pula dikenalpasti mengalami isu keretakan pada pam bahan api tekanan tinggi, yang berpotensi menyebabkan kebocoran atau bau bahan api ketika kenderaan bergerak atau dalam keadaan melahu.

Walau bagaimanapun, Honda Malaysia menegaskan bahawa model-model terkini yang sedang berada dalam pasaran tidak terlibat dalam panggilan balik ini. Syarikat turut menekankan bahawa keselamatan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan mereka.

Sebagai langkah proaktif, panggilan balik ini turut merangkumi kenderaan yang telah tamat tempoh waranti. Pemilik kenderaan yang terlibat akan menerima notis pemberitahuan rasmi dan boleh menyemak status kenderaan masing-masing melalui aplikasi HondaTouch, laman sesawang www.honda.com.my, atau terus ke portal productrecall.honda.com.my.

Penggantian pam bahan api akan dilakukan secara percuma, termasuk semua kos berkaitan yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia. Proses penggantian akan dijalankan secara berperingkat, bergantung kepada ketersediaan alat ganti.

Setakat ini, tiada sebarang laporan kemalangan atau kecederaan berkaitan isu ini diterima di Malaysia. Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020 atau mengunjungi mana-mana pusat pengedar sah Honda untuk bantuan dan janji temu penggantian.

SUMBER : BeritaHarian

 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD