Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, pemandu bas berusia 39 tahun yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Jeli-Gerik, menyampaikan rasa kesal yang mendalam kepada keluarga mangsa dan para pelajar yang terlibat. Beliau menjelaskan bahawa kemalangan berlaku akibat kegagalan brek secara tiba-tiba.
Bercakap dari katil hospital di Taiping, Amirul berkata bas tersebut bertolak dari Terengganu dalam keadaan baik, tetapi masalah berlaku berhampiran jambatan lintasan gajah di Gerik.
Menurutnya, brek tiba-tiba tidak berfungsi, dan pada masa yang sama sistem udara juga gagal. Walaupun dia mencuba sedaya upaya, tiada satu pun sistem yang berfungsi — brek tangan tidak memberi respon dan gear tidak boleh ditukar, menurut laporan New Straits Times.
Amirul memberitahu bahawa dia cuba sedaya upaya untuk mengelak dari melanggar kenderaan lain. Dia masih ingat sempat mengelak sekurang-kurangnya empat kenderaan, termasuk sebuah lori.
Dia menegaskan bahawa dia tidak memandu laju, sebaliknya hanya cuba mengelakkan perlanggaran, namun keadaan jalan yang berliku menyukarkan kerana dia sudah hilang kawalan.
Amirul, yang telah menjadi pemandu bas sejak 2016, berkata dia sempat menjerit kepada para pelajar supaya bersedia menghadapi hentaman. Mungkin pelajar yang duduk di hadapan sempat dengar, tetapi kebanyakan yang duduk di belakang sedang tidur dan mungkin menyangka dia sedang marah.
Beliau menganggarkan bas bergerak lebih satu kilometer tanpa brek. Dia menegaskan bahawa dia telah lakukan segala yang mampu untuk elakkan tragedi. Dia juga berkata dia cukup mengenali laluan Jeli-Gerik dan tidak memandu laju, terutama ketika menuruni bukit.
Selepas bas terbalik, dia pengsan seketika. Bila sedar, dia terus menjerit meminta para pelajar keluar melalui cermin hadapan yang pecah. Dia merangkak keluar dan melihat keadaan para pelajar, dan menangis kerana terlalu sedih. Dia menganggap kejadian ini sebagai ujian daripada Allah.
Ini adalah kemalangan pertama yang melibatkan kehilangan nyawa sepanjang kerjayanya sebagai pemandu, dan dia sangat rasa bersalah. Namun, dia sedar bahawa dia tidak boleh mengubah apa yang telah berlaku, dan hanya berharap pihak berkuasa akan menjalankan siasatan dengan teliti.
Amirul, yang berasal dari Besut, Terengganu, kini sedang menunggu pembedahan akibat patah tangan kiri.
Menurut polis, siasatan awal menunjukkan kemalangan berlaku apabila bas melanggar belakang sebuah Perodua Alza, menyebabkan bas itu terbalik. Sebelum ini dilaporkan bahawa bas tersebut membawa 42 pelajar UPSI, seorang pembantu bas, serta Amirul sebagai pemandu.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?