Niat dua sahabat untuk keluar minum bersama bertukar menjadi tragedi apabila motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta ketika berhenti di lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail, malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, penunggang motosikal, Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri, dan pemboncengnya, Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, masing-masing berusia 18 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kemalangan tersebut melibatkan motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dan sebuah kereta Perodua Bezza.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan datang dari arah Mentakab menuju ke bulatan Bukit Angin. Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut berhenti kerana lampu isyarat merah. Namun, kereta berkenaan dipercayai gagal berhenti lalu merempuh bahagian belakang motosikal tersebut,” jelas beliau dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Tambahnya, pemandu kereta, seorang lelaki berusia 38 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk proses bedah siasat.
Susulan kejadian, pemandu terbabit telah ditahan reman pada Khamis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek turut membawa kepada penemuan beberapa peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah di tempat duduk belakang bahagian kiri.

“Antara yang ditemui ialah satu peket plastik mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 50.85 gram, serta dua peket plastik mengandungi bahan menyerupai heroin seberat 0.85 gram,” katanya.
Walau bagaimanapun, ujian saringan air kencing terhadap pemandu menunjukkan keputusan negatif bagi pengaruh dadah.
Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM6,110, manakala wang tunai sebanyak RM500 turut disita. Suspek kini turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Pihak polis turut mengesahkan bahawa suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
SUMBER : SinarHarian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?