NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Nahas UPSI: Keluarga Nor Ayuni Tidak Dendam, Maafkan Pemandu

Nahas UPSI: Keluarga Nor Ayuni Tidak Dendam, Maafkan Pemandu

Maslan (kiri) mengenang anaknya melalui koleksi gambar di rumahnya di Felda Tenang, Hulu Besut.

Keluarga Nor Ayuni Maslan, salah seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, memilih untuk memaafkan pemandu bas yang terlibat.

Menurut abang mangsa, Ahmad Azizul Maslan, 26, walaupun kehilangan adik bongsunya yang berusia 21 tahun amat dirasai, mereka sekeluarga memilih untuk tidak berdendam dengan pemandu bas tersebut

“Kami redha dan memberikan kemaafan demi ketenangan roh adik bongsu kami, yang kini telah pergi. Keluarga kami juga tidak mahu memanjangkan perkara ini dan bersedia menerima permohonan maaf daripada pemandu bas. Bagaimanapun, kami serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di kediaman keluarganya di Felda Tenang. Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan turut hadir dan menyampaikan sumbangan RM1,500 kepada setiap waris mangsa tragedi.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin menasihati pemandu terbabit agar tidak membuat kenyataan terbuka yang boleh mengganggu siasatan pihak polis. Ini setelah dia membuat permohonan maaf kepada keluarga mangsa dan menyatakan insiden berlaku atas kerosakan brek secara tiba-tiba

Tragedi pada awal pagi Isnin lalu menyaksikan seramai 15 pelajar UPSI maut selepas bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama di Tanjung Malim terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Alza sebelum terbabas dan terbalik di JRTB. Seramai 33 mangsa lain turut mengalami kecederaan, termasuk pemandu dan penumpang bas serta empat individu dari kenderaan Perodua Alza tersebut.

Sumber: Astro Awani

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD