Tragedi nahas pesawat Air India baru-baru ini menimbulkan persoalan mengenai tempat duduk 11A selepas seorang penumpang terselamat dalam insiden yang meragut hampir kesemua 242 nyawa.
Vishwash Kumar Ramesh, warga Britain keturunan India, merupakan satu-satunya mangsa terselamat dan ketika itu berada di tempat duduk 11A, berdekatan pintu kecemasan dan di atas sayap kiri pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang terhempas dan terbakar selepas berlepas.
“Saya terdengar bunyi letupan kuat… kemudian semuanya gelap. Tapi bila sedar, saya masih hidup,” katanya dari katil hospital, sambil menunjukkan kesan melecur di tangan akibat api.
Menurut pakar keselamatan penerbangan, tempat duduk di atas sayap lazimnya menerima impak paling teruk dalam nahas. Namun dalam kes ini, bahagian tempat duduk 11A hampir tidak musnah.
Apa yang lebih menarik, 11A juga dikaitkan dengan satu lagi insiden yang berlaku pada tahun 1998 melibatkan pesawat Thai Airways Penerbangan TG261. Selebriti Thailand, Ruangsak Loychusak, terselamat dalam insiden itu dan menduduki tempat duduk yang sama – 11A.
Perkongsian ini mencetuskan spekulasi dalam talian, menyifatkan 11A sebagai “kerusi magis”. Namun, pakar menegaskan bahawa faktor keselamatan penumpang tidak boleh diramal hanya berdasarkan nombor tempat duduk.
“Setiap insiden berbeza. Dalam kes ini, kedudukan berhampiran pintu keluar mungkin menyumbang kepada kelangsungan hidup,” kata Ron Bartsch, pakar keselamatan penerbangan dari Australia.
Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar nahas dan kedudukan tempat duduk yang dikatakan menyelamatkan nyawa itu.
SUMBER : BeritaHarian