Seorang wanita berusia 70 tahun ditahan pihak polis selepas memandu sebuah kereta di lorong motosikal di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS), dalam kejadian yang mencetuskan kebimbangan awam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Jay January Siowou memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1.30 petang di Kilometer 8.6 jambatan berkenaan, dari arah Batu Kawan menuju Batu Maung.
“Bertindak atas maklumat orang awam dan rakaman video yang tular, pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD SPS berjaya mengesan dan menahan wanita terbabit sebelum membawanya ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Kaedah 8(3), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59) atas kesalahan memandu di lorong yang tidak dibenarkan. Siasatan lanjut kini sedang dijalankan.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan agar menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPS di talian 04-5858222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, insiden tersebut menarik perhatian warganet selepas satu klip video berdurasi enam saat memaparkan wanita terbabit memandu Proton X50 di lorong motosikal tular di media sosial.
SUMBER : AstroAwani