NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Tular Video Konvoi Motosikal Halang Laluan di Jalan Raya, PDRM Beri Amaran Boleh Kena Tindakan

Tular Video Konvoi Motosikal Halang Laluan di Jalan Raya, PDRM Beri Amaran Boleh Kena Tindakan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran tegas kepada konvoi motosikal agar tidak menghalang laluan kenderaan lain di jalan raya, jika tidak mahu berdepan tindakan undang-undang.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, individu yang didapati bersalah di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh didenda antara RM1,000 hingga RM5,000, dipenjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.

Beliau menegaskan bahawa semua pergerakan konvoi atau berkumpulan perlu dilaporkan kepada JSPT terlebih dahulu untuk tujuan penyelarasan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Jika konvoi tidak mendapat bantuan rasmi daripada JSPT, mereka wajib mematuhi semua undang-undang trafik. Penggunaan marshal atau pengiring persendirian untuk mengawal lalu lintas semasa konvoi juga adalah dilarang sama sekali, menurut laporan Bernama.

Amaran ini dikeluarkan selepas satu video tular menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal berkonvoi di lebuh raya dengan pengiring memakai vest keselamatan kuning. Kejadian dipercayai berlaku di KM 285 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, berhampiran Nilai, Negeri Sembilan, membabitkan konvoi dari Kuala Lumpur ke bahagian selatan negara.

Beliau turut menasihatkan agar semua pengguna jalan raya saling bertimbang rasa bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan bersama.

Kenderaan yang bergerak perlahan juga diminta menggunakan lorong kiri dan tidak menghalang laluan kenderaan lain yang lebih laju.

Akhir sekali, beliau menyeru semua pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki, penunggang basikal, dan pemandu kenderaan supaya sentiasa mematuhi undang-undang trafik di semua jenis jalan, sama ada lebuh raya, jalan negeri atau jalan bandar.

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy