NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Taktik Licik Warga Thailand Seludup Diesel Guna Nombor Pendaftaran Palsu Terbongkar di Kedah

Taktik Licik Warga Thailand Seludup Diesel Guna Nombor Pendaftaran Palsu Terbongkar di Kedah

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya mengesan taktik licik sindiket penyeludupan diesel yang melibatkan warga asing. Mereka dikesan menipu dengan menukar nombor pendaftaran kenderaan semata-mata untuk membeli bahan api bersubsidi itu.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, kegiatan tersebut terbongkar di Kuala Nerang pada 16 Ogos lalu hasil aduan orang awam serta risikan anggota penguat kuasa KPDN Alor Setar.

Menurut beliau, ketika pemantauan awal, sebuah pikap didapati mengisi diesel di stesen minyak sebelum bergerak ke kawasan belakang stesen. Pemeriksaan lanjut mendedahkan pemandunya menukar nombor pendaftaran tempatan yang palsu kepada nombor asal kenderaan iaitu nombor pendaftaran asing selepas selesai mengisi minyak.

Pasukan penguat kuasa kemudian menyerbu kenderaan itu dan menemui diesel yang disimpan dalam tangki yang telah diubah suai. Seorang wanita warga Thailand berusia 40-an yang memandu pikap tersebut turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Hasil pemeriksaan ke atas stesen minyak berkenaan mendapati sebanyak 273 liter diesel telah dijual dalam satu transaksi kepada kenderaan itu, sekali gus melanggar arahan Pengawal Bekalan yang mengehadkan penjualan kepada kenderaan berdaftar tempatan.

Berikutan itu, kertas siasatan turut dibuka terhadap pengusaha stesen minyak tersebut. Pasukan serbuan menyita diesel bernilai RM791.73 yang disyaki cuba diseludup, sebuah Isuzu D-Max, resit pembelian serta beberapa dokumen perniagaan. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM30,791.73. – Berita Harian

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy