Zeekr Malaysia telah melancarkan secara rasmi model Zeekr 7X, sebuah SUV elektrik, ke dalam pasaran Malaysia. 7X ditawarkan dalam tiga varian iaitu RWD Standard pada harga bermula RM179,800, RWD Long Range pada harga bermula RM190,800, dan AWD Performance pada harga bermula RM226,800.
Model ini berukuran 4,787 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,650 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,900 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 539 liter dan meningkat sehingga 1,978 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya.
Varian Standard dan Long Range didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan 421 PS dan 440 Nm tork. Bagi varian Standard, jarak sejauh 480 km boleh dicapai dengan pek bateri LFP berkapasiti 75 kWj dengan sekali pengecasan. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 6 saat.
Kedua-dua varian Long Range dan Performance pula menggunakan kapasiti bateri NMC yang sama iaitu 100 kWj, sekaligus memberi jarak yang tertinggi iaitu 615 km (Long Range). Namun, varian Performance menggunakan dua motor elektrik, di mana ia mampu menghasilkan 646 PS dan 710 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat dengan jarak gerak sebanyak 543 km.
Di bahagian luar, SUV ini tampil dengan nisbah badan emas 0.618, siluet aerodinamik unggul, bumbung terapung, serta lampu Stargate Smart Light Curtain 93 inci – jalur lampu LED terbesar di dunia dengan lebih 1,800 unit lampu berkuasa tinggi dan pelbagai mod cahaya interaktif.
Di dalam kabin, 7X dilengkapi dengan pencahayaan ambien RGB penuh, bumbung panoramik 1.84m² dengan pelindung haba UV elektrik, kerusi kulit Nappa (varian AWD), fungsi urutan, ventilasi dan memori, serta sistem hiburan imersif dengan paparan AR-HUD 36 inci, skrin tengah mini-LED 16 inci, dan sistem audio Zeekr Sound Pro 21 pembesar suara, 2160W.
Zeekr 7X dibina dengan struktur badan ultra-kuat, diuji dalam lebih 40 senario kemalangan ekstrem, dan menerima penarafan EURO NCAP 5 bintang. Ia turut menjadi EV pertama di dunia dengan pensijilan keselamatan dwi-elektromagnetik (EM), melindungi penumpang daripada radiasi EM.
Selain itu, ia dilengkapi lebih 40 sistem keselamatan aktif termasuk 7 beg udara, kamera 360°, Driver & Occupant Monitoring System, dan sistem pemanduan bantuan tahap L2.5 seperti Adaptive Cruise Control, Automatic Lane Change, Lane Keeping Assist, serta Automated Parking Assist.
Setiap pembelian Zeekr 7X didatangkan dengan:
Waranti kenderaan 5 tahun/150,000km
Waranti bateri 8 tahun/160,000km
Pengecas dinding 22kW percuma
Tinted solar percuma
1 tahun akses perkhidmatan connected (aplikasi Zeekr, navigasi, OTA updates)
Varian AWD Performance turut ditawarkan dengan pilihan warna Brook Blue dua tona dengan bumbung perak, serta pilihan rim 21-inci forged.
Sejak Mei lalu, Zeekr Malaysia sudah mengutip lebih 1,000 tempahan untuk 7X, menandakan sambutan hangat rakyat Malaysia terhadap jenama EV premium dari Geely ini.