NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Gangguan Bekalan Elektrik Sementara di KLIA2, Punca dari Insiden Kilat

Gangguan Bekalan Elektrik Sementara di KLIA2, Punca dari Insiden Kilat

Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) mengalami gangguan bekalan elektrik sementara semalam, berpunca daripada insiden kilat yang menjejaskan sambungan kabel, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam kenyataan rasmi, MAHB menegaskan operasi lapangan terbang tidak terjejas kerana sistem penting masih berfungsi seperti biasa. Sistem kuasa utama bersama penjana sokongan diaktifkan serta-merta, memastikan pengendalian bagasi, kaunter daftar masuk dan paparan maklumat penerbangan terus berjalan lancar.

MAHB memaklumkan pasukan teknikalnya bertindak pantas dengan mengalihkan bekalan kuasa daripada pencawang alternatif, sebelum berjaya memulihkan sepenuhnya dalam masa 28 minit.

“Sepanjang tempoh tersebut, semua perkhidmatan kritikal kekal beroperasi,” katanya.

Tambahnya lagi, laporan penuh mengenai insiden ini sedang disiapkan untuk diserahkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Penilaian menyeluruh turut dijalankan bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang serta meningkatkan ketahanan infrastruktur lapangan terbang.

Terdahulu, gangguan berlaku sekitar jam 2.15 petang ketika Anthony Loke berada di KLIA2 untuk pelancaran kempen Tap, Travel and Discover anjuran gateway@klia2. Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima kerana memberi kesan kepada imej negara. – Harian Metro

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy