Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal melaksanakan percubaan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) bermula bulan ini, sebagai usaha menambah baik aliran trafik di kawasan tepi jalan serta memastikan akses ke terminal lebih lancar.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataannya memaklumkan, percubaan ini akan dijalankan di Terminal 1 bermula 1 September hingga 31 November 2025, melibatkan Aras 5 (pelepasan – menurunkan penumpang) dan Aras 3 (ketibaan – mengambil penumpang). Sementara itu, percubaan di Terminal 2 akan bermula pada 15 September hingga 30 November 2025.
MAHB menjelaskan, sistem ini diperkenalkan untuk melancarkan trafik, meningkatkan keselamatan serta mengurangkan kesesakan akibat kenderaan berhenti terlalu lama atau di kawasan yang tidak dibenarkan.
Sepanjang fasa percubaan, setiap kenderaan diberi masa tangguh 10 minit untuk menurunkan atau mengambil penumpang. Walaupun sistem akan memantau kenderaan yang melebihi had masa tersebut, tiada caj penalti akan dikenakan buat masa ini. Sebaliknya, data trafik, tingkah laku pemandu serta prestasi sistem akan diperhatikan bagi menentukan struktur terbaik sebelum pelaksanaan penuh.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata terminal lapangan terbang merupakan antara tanggapan pertama dan terakhir pelancong terhadap Malaysia. Katanya, inisiatif ini juga sebahagian daripada persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026. – Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?