Chery O5 Bakal Dilancarkan di Malaysia Bulan Ini – Facelift Omoda 5, 1.5L Turbo, DCT

Chery Malaysia bersedia memperkenalkan model baharu mereka, Chery O5, yang merupakan versi facelift kepada Omoda 5. SUV segmen-C ini dijangka dilancarkan secara rasmi dalam bulan ini, dengan pendaftaran minat telah pun dibuka.

Menariknya, Omoda kekal sebagai sub-jenama di bawah Chery, namun model facelift ini dinamakan semula sebagai Chery O5 untuk pasaran Malaysia bagi mengelakkan kekeliruan jenama.

Dari segi rekaan, O5 menampilkan wajah hadapan serba baharu dengan gril berbentuk berlian, lampu siang (DRL) yang direka semula seiring dengan gaya Omoda E5, serta bampar depan yang lebih kemas. Profilnya turut diperkemaskan dengan rim aloi 18-inci baharu, manakala elemen merah yang sebelum ini sinonim dengan Omoda digugurkan, menjadikan imej SUV ini lebih bersih dan elegan.

Di bahagian dalam, O5 masih mengekalkan susun atur moden dengan paparan berkembar 20.5-inci (gabungan dua skrin 10.25-inci), sistem pendingin hawa dwi-zon, pengecas telefon tanpa wayar dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto tanpa wayar.

Chery Malaysia turut mengesahkan bahawa O5 ini akan menerima tempat duduk kulit sintetik dengan fungsi ventilasi, sistem audio Sony lapan pembesar suara, dan kawalan suara pintar yang meningkatkan lagi pengalaman pemanduan.

Perubahan besar turut berlaku di bahagian mekanikal. Enjin turbo 1.5 liter kekal digunakan, tetapi transmisi CVT kini digantikan dengan kotak gear DCT 6-kelajuan yang lebih responsif.

Selain itu, suspensi belakang kini menggunakan tetapan multi-link bagi menggantikan torsion beam, sekaligus memberikan keseimbangan lebih baik di antara keselesaan dan pengendalian.

Aspek keselamatan juga diberi penekanan, dengan 6 beg udara sebagai standard, sistem bantuan pemandu (ADAS) Tahap 2 termasuk Adaptive Cruise Control dan Lane Keep Assist, serta kamera 540-darjah yang memberi pandangan menyeluruh ketika memandu dan parkir.

Pelanggan yang berminat kini boleh mendaftar minat melalui laman web rasmi Chery Malaysia, sementara menantikan pelancarannya yang dijadualkan akan berlangsung pada bulan September ini.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD