Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah merasmikan kilang kenderaan elektrik (EV) baharu Proton di Tanjong Malim. Seperti yang diumumkan sebelum ini, pengeluaran rasmi bermula bulan ini dengan Proton e.MAS 7 menjadi model pertama yang keluar dari barisan pemasangan. Tapak kilang bernilai RM82 juta ini mula dibangunkan pada Februari lalu.
Fasa pertama kilang ini mempunyai kapasiti awal sebanyak 20,000 unit setahun, lebih awal daripada sasaran asal yang ditetapkan siap menjelang akhir 2025. Buat masa ini, pengeluaran akan bermula dengan pemasangan CKD Proton e.MAS 7, diikuti oleh model lebih kecil, Proton e.MAS 5.
Menurut Proton, kilang EV ini direka dengan keupayaan untuk berkembang mengikut permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa, dengan kapasiti maksimum sehingga 45,000 unit setahun. Tidak seperti kilang enjin pembakaran dalaman (ICE), fasiliti ini dilengkapi ruang khas untuk pemasangan bateri, ujian keselamatan voltan tinggi serta sistem ujian elektrik, selain susun atur barisan pemasangan yang sesuai untuk casis rata EV dan unit pacuan elektrik.
Setiap barisan boleh ditambah stesen ujian tambahan untuk menyokong pelbagai variasi platform. Dari segi logistik, kilang ini dibina dengan sistem aliran, penyimpanan dan pengurusan digital seperti manufacturing execution system (MES) dan warehouse management system (WMS) untuk memudahkan proses pengembangan masa depan tanpa perlu ubah suai besar. Ujian kelayakan mesin (machine try out) turut dijalankan lebih awal bagi memastikan kesiapan peralatan sebelum pengeluaran skala penuh.
Setakat ini, lebih 30 tenaga kerja bukan eksekutif dengan sijil kemahiran dan diploma telah diambil serta menjalani latihan intensif bagi menyokong fasa awal pengeluaran. Jumlah peluang pekerjaan dijangka melebihi 200, khusus dalam bidang perindustrian EV dan perkhidmatan teknikal.
Kilang ini turut menerima sokongan teknikal daripada Geely, termasuk pemilihan peralatan, penyeliaan pemasangan, latihan luar negara untuk kakitangan PROTON serta panduan dalam memastikan standard pengeluaran EV bertaraf global.
Majlis pelancaran turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Automotive High Tech Valley (AHTV) dan Railway Assets Corporation (RAC) bagi pembinaan hab logistik rel di Tanjong Malim, sekali gus memperkukuh peranan kawasan itu sebagai pusat automotif masa depan.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?