GGR Motor Terima Sokongan JPJ WP, Sasar Jadi Pengeluar Motosikal Elektrik Pertama Malaysia

GGR Motor Terima Sokongan JPJ WP, Sasar Jadi Pengeluar Motosikal Elektrik Pertama Malaysia

Usaha GGR Motor untuk muncul sebagai pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama negara mendapat sokongan penuh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, yang baru-baru ini mengadakan lawatan rasmi ke kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd di Kampung Sungai Penchala.

Seramai 25 anggota JPJ diketuai Timbalan Pengarah, Eric Jusiang, hadir bagi meninjau operasi kilang serta proses pemasangan motosikal elektrik tempatan itu. Lawatan ini turut disambut Pengerusi GGR Motor, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail bersama Pengarah Urusan, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi.

“Ini lawatan pertama pihak berkuasa ke kilang kami, dan diharap ia dapat memperkemas prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan undang-undang. Kami amat berbangga dengan sokongan JPJ WP yang memberi makna besar terhadap usaha kami membangunkan motosikal EV tempatan,” kata Musaddiq.

Sepanjang sesi lawatan, anggota JPJ diberi taklimat operasi dan dibawa meninjau kemudahan kilang termasuk pusat jualan aksesori, bengkel servis, dan bahagian operasi yang dibangunkan bagi menyokong ekosistem kenderaan elektrik.

Mussaddiq turut memaklumkan bahawa motosikal EV sulung keluaran GGR Motor, Lion G1, kini boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September lalu.

“Dalam masa terdekat, unit tempahan sudah boleh diserahkan kepada pelanggan. Lebih 6,000 unit Lion G1 dijangka akan sampai kepada pemilik tidak lama lagi,” jelasnya.

Model Lion G1 telah dibangunkan hasil dari penyelidikan tempatan dengan fokus kepada kos mampu milik dan mesra alam, sekali gus menjadikan ia pilihan baharu bagi pengguna Malaysia.

Sejak dilancarkan pada Julai lalu, Lion G1 menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 2,500 unit ditempah hanya dalam tempoh seminggu. GGR Motor menyasarkan pengeluaran sehingga 30,000 unit menjelang akhir 2025 bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Bagi memperkukuh kapasiti, syarikat itu merancang untuk membina kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung di atas tapak seluas lebih satu ekar. Kilang ini dijangka menjadi hab utama pengeluaran Lion G1 dan model baharu lain, selain membuka lebih 50 peluang pekerjaan baharu dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik.

Langkah ini turut diperkasa melalui kerjasama strategik bersama PMH Motor, Bateriku.com, MARA, dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM), merangkumi latihan teknikal, penyelenggaraan serta rantaian bekalan.

Dengan sokongan kerajaan serta sambutan positif rakyat, GGR Motor kini semakin hampir merealisasikan impian menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran motosikal elektrik di rantau ASEAN.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD