NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

JPJ Terengganu Bongkar Pemandu Bawah Umur Bawa Kenderaan Perdagangan

JPJ Terengganu Bongkar Pemandu Bawah Umur Bawa Kenderaan Perdagangan

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan trend membimbangkan apabila terdapat pengusaha kenderaan perdagangan mengambil pemandu bawah umur.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan memandu kenderaan perdagangan tanpa lesen dalam operasi khas di Jalan Tok Adis–Cendering malam tadi.

Menurutnya, pemeriksaan juga mengesahkan pemandu dan kelindan lori terbabit kedua-duanya masih bawah umur.

“Lori yang membawa muatan tempurung kelapa itu sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Marang. Kami percaya pemilik kenderaan berkenaan menggaji pemandu bawah umur bagi menjimatkan kos operasi.

“Tindakan ini sangat berbahaya kerana mengancam keselamatan pemandu serta pengguna jalan raya lain. Kita telah mengeluarkan saman dan lori tersebut turut disita,” katanya ketika Ops Khas Gempur di Tol Gemuruh, malam tadi.

Sementara itu, Mohd Zamri memaklumkan sebanyak 603 kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan kenderaan barangan dikenakan tindakan sepanjang operasi khas JPJ terhadap kenderaan perdagangan dari 1 hingga 24 September.

Sebanyak 5,315 kenderaan diperiksa termasuk bas ekspres, bas persiaran, lori, kereta sewa dan kenderaan e-hailing.

Antara kesalahan yang dikesan ialah lesen PSV tamat tempoh, muatan berlebihan, insurans luput, gagal mematuhi lampu isyarat serta Lesen Memandu Barangan (GDL) tamat tempoh.

“Selain itu, 11 kenderaan disita, 144 diarahkan menjalani penimbangan semula dan 12 lagi dikenakan pelbagai notis lain.

“JPJ Terengganu akan terus memperhebat operasi terhadap kenderaan perdagangan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan sekaligus mengurangkan kadar kemalangan serta kematian di jalan raya,” katanya. – Bernama

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy